Aaliyah kuasai Kejohanan Ski Air dan Sukan Wake Malaysia 2025

KUALA LUMPUR: Peluncur Malaysia menguasai hari terakhir Kejohanan Ski Air dan Sukan Wake Malaysia 2025 di Kompleks Sukan Air, Putrajaya hari ini dan seperti yang dijangka, ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah mendominasi kategori terbuka wanita dengan menyapu bersih ketiga-tiga acara iaitu slalom, tricks dan jump sekali gus muncul juara keseluruhan.

Berada pada ranking ketujuh dunia dalam jump, beliau melakukan jarak 42.6 meter (m) dan mencatatkan 7,320 mata dalam tricks, meninggalkan pencabar tunggalnya dari Indonesia Ni Ika Dewi Ambarawati yang terpaksa berpuas hati dengan perak dalam ketiga-tiga acara.

Turut hadir memberikan sokongan kepada Aaliyah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Chan Hon Jin.

Aaliyah yang membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 akan berlepas ke Recetto, Itali minggu depan untuk Kejohanan Dunia IWWF.

“Kejohanan ini satu pengalaman yang menyeronokkan dan mengujakan untuk saya. Semua yang saya lakukan adalah untuk bersiap sedia bagi Kejohanan Dunia di Itali.

“Saya akan berehat sebentar sebelum ke Itali. Ia akan menjadi sangat sengit pada acara bertaraf dunia dan fokus saya adalah memberikan 100 peratus pada Kejohanan Dunia itu,“ katanya, yang baru-baru ini memenangi empat pingat emas dan memecahkan rekod jump Asia sebanyak tiga kali pada Kejohanan Asia di Bangkok.

Dalam acara terbuka lelaki, adik Aaliyah, Aiden turut cemerlang dengan meraih emas menerusi slalom dan tricks selain mencipta rekod kebangsaan baharu dalam tricks dengan 6,830 mata.

Muhammad Zahidi Putu dari Indonesia mencuri tumpuan dalam acara jump menerusi catatan 39.9m untuk memenangi emas manakala Aiden membawa pulang perak dengan 32.3m dan adiknya Adam di kedudukan gangsa (28.6m).

Sementara itu, peluncur meningkat naik Malaysia, Aydan Saisi, 13, memenangi emas dalam final wake board Bawah 14 tahun lelaki dengan 20 mata, mengetepikan lima pesaing Indonesia.

“Saya sangat teruja apabila ayah memberitahu saya memenangi pingat emas sekali lagi. Saya memenanginya untuk tahun ketiga berturut-turut. Ini pencapaian yang hebat untuk saya,“ kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Aydan yang berlatih di bawah juara dunia 13 kali Julia Rick, sebelum itu menduduki tempat kelima dalam acara yang sama pada Kejohanan Asia di Bangkok- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *