TFC sedia hadapi cabaran Imigresen FC Piala FA

KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali menegaskan pasukannya tidak akan memandang mudah cabaran pendatang baharu, Imigresen FC.

Aksi pertama pusingan 16 Piala FA bakal berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang petang esok.

Bekas pemain tengah itu berkata kelebihan beraksi di laman sendiri pasti dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad lawan.

“Bermain di tempat lawan pada perlawanan pertama memberi sedikit kelebihan kepada pihak lawan, tetapi kita sudah melakukan persiapan rapi,” katanya.

Pemain perlu kekal fokus dan berdisiplin bagi memastikan permainan berjalan mengikut perancangan.

“Saya akui pemain masih kepenatan kerana jadual padat, namun ia bukan alasan kerana semua pasukan melalui situasi sama,” jelasnya.

Penyerang import dari Perancis, Yan Mabella bertekad menjaringkan sebanyak mungkin gol.

Menurutnya sokongan padu penyokong ketika seri 2-2 dengan PDRM FC pada aksi Liga Super Jumaat lepas menjadi pembakar semangat.

“Kami ada tiga perlawanan dalam seminggu, jadi perlu melakukan pemulihan segera dan bersedia berjuang sepenuh tenaga,” ujarnya.

“Peminat sentiasa memberi sokongan sejak hari pertama saya tiba. Saya amat menghargainya,” tambah Mabella – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *