KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat satu akaun media sosial TikTok yang disyaki memuat naik kandungan tidak tepat dan tidak sahih berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ia melibatkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian serta kandungan yang mempunyai kecenderungan menghasut kebencian terhadap mana-mana pihak.
“Penyebaran maklumat tidak sahih juga boleh menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru orang ramai menghentikan tindakan menyebarkan maklumat tidak sahih kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai lepas.
Pelajar itu dimasukkan ke hospital setelah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai. – Bernama