KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini akan menjadi ujian penting terhadap kemampuan Malaysia untuk mengekalkan momentum dalam menyelesaikan konflik sempadan Thailand-Kemboja.
Penganalisis menyatakan bahawa kepemimpinan Kuala Lumpur telah memulihkan keyakinan terhadap keupayaan ASEAN untuk menangani pertikaian serantau.
Perjanjian gencatan senjata yang diusahakan pada Julai lepas dengan Malaysia sebagai pemudah cara bukan sahaja meredakan ketegangan antara kedua-dua negara jiran, malah menunjukkan keupayaan ASEAN bergerak melangkaui kenyataan.
Pengarah ISIS Thailand Dr Pongphisoot Busbarat berkata usaha berterusan Malaysia sebagai pemudah cara amat penting dalam membina kepercayaan antara pihak terlibat.
“Kepimpinan Malaysia pada masa ini amat penting, sudah tentu. Ia merupakan langkah pertama ke arah penyelesaian konflik dan kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata, walaupun beberapa pertempuran kecil masih berlaku,” katanya.
Pongphisoot menegaskan bahawa prinsip tidak campur tangan ASEAN kekal diguna pakai tetapi perlu disesuaikan untuk penyelesaian konflik yang lebih berkesan.
“Dalam konteks geopolitik semasa, kita perlu menyesuaikan cara menggunakan prinsip tidak campur tangan dengan cara yang lebih bijak,” jelasnya.
Profesor Madya Dr Chaiwat Meesantan dari Universiti Thammasat pula berpendapat Sidang Kemuncak Oktober ini peluang untuk menonjolkan peranan Malaysia sebagai perantara.
“ASEAN memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian kepada masalah dan bersetuju dengan gencatan senjata,” katanya.
Kedua-dua penganalisis bersetuju Filipina perlu komited mengekalkan momentum apabila mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan.
Pongphisoot berkata penglibatan kuasa serantau lain boleh membantu ASEAN mengekalkan keseimbangan dalam menghadapi dasar kuasa besar yang berubah.
Chaiwat pula yakin Filipina tidak akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan proses jika komited dengan momentum sedia ada.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober.
Filipina dijangka mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2026 selepas Malaysia. – Bernama