KUALA NERUS: Pelbagai inisiatif baharu bagi memperkukuh perkhidmatan awam termasuk penambahbaikan skim Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim menyifatkan pengumuman itu tepat pada masanya.
Beliau berkata perluasan Insentif Berasaskan Prestasi (BIPs) kepada anggota lain-lain pangkat dapat memotivasikan warga tentera.
“Pada saya ia merupakan suatu yang positif kerana dengan adanya ‘performance based’ ini, kita boleh menggunakan ia sebagai kayu ukur untuk menentukan setiap orang akan berusaha untuk mencapai satu tahap yang dikendaki,” katanya.
Tengku Muhammad Fauzi ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat (APAC) Siri Dua/2025 di Jambatan Angkat.
Beliau turut menyokong peluasan tujuh kelayakan masuk bagi pelbagai Skim Perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM Gred Z1 (Tugas Khusus).
“Dahulu mungkin (tentera) menggunakan banyak kudrat tetapi sekarang ini dengan teknologi dan sebagainya keluar pelbagai konsep, ada yang memerlukan seseorang yang pakar dalam media sosial kerana mereka ini yang melaksanakan perperangan informasi,” katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) serta peruntukan dana bagi memperkasa Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Langkah itu selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kecekapan, profesionalisme dan kebajikan penjawat awam. – Bernama