Pemandu lori ditahan kes kemalangan anggota polis maut di Bagan Serai

IPOH: Seorang pemandu lori berusia 64 tahun ditahan polis semalam berhubung kemalangan jalan raya yang mengorbankan seorang anggota polis di Kilometer 94 Jalan Ipoh-Butterworth.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Jafri Md Zain berkata suspek ditahan di rumahnya di Bagan Serai sekitar 6.30 petang hasil maklumat orang awam.

“Suspek tiada rekod jenayah lampau, ujian air kencing juga didapati negatif,“ jelas Jafri.

Beliau menambah sampel darah suspek telah diambil untuk analisis kandungan dadah atau alkohol.

“Siasatan masih berjalan dan laporan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,“ katanya.

Kemalangan itu berlaku pada Rabu lepas apabila motosikal ditunggang anggota polis bergesel dengan sebuah lori.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin mengesahkan Konstabel Muhammad Hakim Danial Ruhiman, 23, meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Mangsa yang berkhidmat di Balai Polis Bagan Serai meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Taiping. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *