Pasukan pemantau ASEAN pulang, rundingan sempadan Kemboja-Thailand berakhir lancar

PHNOM PENH: Keselamatan di sepanjang sempadan sensitif Kemboja-Thailand kekal stabil apabila kedua-dua kerajaan terus giat berunding bagi menyelesaikan perbezaan.

Kementerian Pertahanan Kemboja dalam sidang media pada Sabtu memaklumkan keadaan di wilayah Preah Vihear, Oddar Meanchey dan Banteay Meanchey adalah normal.

Jurucakap kementerian, Lt Jen Maly Socheata, berkata mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Serantau (RBC) antara kedua-dua negara yang berlangsung di wilayah Trat, Thailand, pada Jumaat telah mencatat sedikit kemajuan, namun tiada butiran lanjut didedahkan.

“Mesyuarat ini diharapkan dapat mencapai lebih banyak hasil positif yang membolehkan kedua-dua pihak melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya demi keamanan, kestabilan dan keadaan kembali normal,” kata Maly.

Dalam sidang media itu, beliau turut memaklumkan bahawa Pasukan Pemerhati Sementara ASEAN (IOT) yang diketuai oleh Atase Pertahanan Malaysia ke Kemboja, Kol Nazlee Abdul Rahim, telah menamatkan misi dua hari mereka memeriksa keselamatan di kawasan sempadan.

Negara anggota ASEAN lain – Brunei, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam – turut menganggotai pasukan pemerhati itu.

Pasukan tersebut telah memeriksa pos kawalan sempadan di wilayah Banteay Meanchey dan Preah Vihear.

Kemboja dan Thailand kini berusaha mengekalkan serta memperkukuh perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada 28 Julai di Malaysia, selepas pertikaian sempadan mencetuskan konflik bersenjata selama lima hari di utara Kemboja.

Campur tangan Malaysia selaku pengerusi ASEAN, serta Amerika Syarikat dan China sebagai pemerhati, berjaya mengawal keadaan tegang itu.

Kedua-dua kerajaan bersetuju untuk membincangkan isu-isu berbangkit berdasarkan perjanjian 13 perkara yang dicapai semasa Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Kemboja-Thailand pada 7 Ogos di Kuala Lumpur, yang turut disertai ketiga-tiga negara tersebut – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *