TEMERLOH: Pahang menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya menghasilkan beras prebiotik melalui produk dikenali sebagai Beras Pahang.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan keistimewaan Beras Pahang terletak pada kandungan gulanya yang rendah dan sesuai untuk penghidap diabetes.
Beras ini juga diperkaya dengan prebiotik yang baik untuk kesihatan usus serta sistem penghadaman.
“Beras ini sudah berada di pasaran namun dalam jumlah terhad. Buat masa ini, kita utamakan jualan di Pahang sebelum diedarkan ke negeri lain,” katanya selepas merasmikan Mini MAHA Pahang 2025 di Dataran Temerloh.
Difahamkan, beras tersebut ditanam di jelapang padi Ganchong, Pekan, dan mempunyai tekstur lebih enak, wangi serta lembut dengan nutrisi semula jadi.
Harga beras ini dijual pada RM8 sekilogram sepanjang Mini MAHA Pahang 2025.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata program Mini MAHA Pahang yang pertama kali dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 80,000 pengunjung.
Program ini akan diteruskan di lokasi berbeza setiap tahun.
Mengulas prestasi sektor pertanian negeri, beliau memaklumkan Pahang kini penyumbang kedua terbesar sektor pertanian negara selepas Johor.
Nilai jualan sektor pertanian Pahang mencecah RM25.12 bilion berdasarkan Laporan Interim Banci Pertanian Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Daripada jumlah itu, 88 peratus disumbang subsektor tanaman. Kelapa sawit mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM14.18 bilion,” katanya.
Sayur-sayuran dari Cameron Highlands menyumbang RM3.6 bilion manakala durian Musang King mencatatkan nilai RM2.42 bilion.
Pahang juga merupakan pengeluar susu segar tertinggi di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 9.05 juta liter bernilai RM47.25 juta.
Beliau berkata Pahang turut menerajui industri ternakan bernilai tinggi seperti lembu wagyu- Bernama
Ini mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pengeluar ternakan premium negara- Bernama