SIBU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah meluluskan lebih 20 permohonan bantuan untuk usahawan orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara tahun ini.
Peruntukan yang disalurkan mencecah lebih RM500,000 bagi membantu golongan ini membangunkan perniagaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang menjelaskan bantuan diberikan dalam bentuk geran dan pinjaman tanpa faedah.
Setiap usahawan layak menerima sehingga RM50,000 bergantung kepada keperluan perniagaan masing-masing.
“MARA komited membantu golongan OKU menjadi usahawan berjaya melalui ekosistem sokongan lengkap,“ katanya.
Beliau berkata sokongan itu merangkumi latihan, geran, pinjaman, pemantauan dan program pembangunan perniagaan.
Rubiah ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di premis Duri Cendol di sini.
Beliau berkata Mohamad Hazemi Mat, 31, pemilik Duri Cendol, merupakan antara penerima bantuan MARA.
Perniagaan Mohamad Hazemi yang beroperasi sejak Disember 2023 kini mencatat pendapatan bulanan lebih RM35,000.
Usahawan OKU bisu itu turut menggaji tujuh pekerja OKU pekak dan bisu di premisnya.
Rubiah juga mengemukakan cadangan penubuhan dana khas untuk kontraktor bumiputera Sarawak.
Dana itu bertujuan membantu usahawan dalam industri berteknologi tinggi dan tenaga boleh baharu.
“Kita perlu bawa cadangan itu kepada pengurusan MARA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk diputuskan,” katanya.
Pada tahun ini sahaja, MARA telah membelanjakan lebih RM30 juta termasuk Dana NITA untuk usahawan wanita.
Perbelanjaan itu bertujuan membangunkan 250 usahawan di Sarawak dalam pelbagai kategori. – Bernama