Lee Chong Wei dilantik ahli majlis BAM untuk tingkatkan prestasi badminton

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei dilantik sebagai salah seorang ahli majlis baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pelantikan ini menandakan kemunculan semula beliau dalam arena badminton negara selaras dengan visi BAM menjadikan Malaysia kuasa besar badminton dunia.

Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kelulusan pelantikan itu dalam mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Turut dilantik ialah tiga tokoh korporat terkemuka iaitu Tan Sri Gooi Hoe Soon (Kewangan), Datuk Seri Shazalli Ramly (Penjenamaan dan Strategi Media), dan Datuk Sunil Abraham (Perundangan).

“Mereka semua bersetuju dan mereka adalah wakil bebas,“ jelas Tengku Zafrul.

Beliau menambah bahawa kuota untuk melantik lima ahli majlis bukan wakil negeri telah digunakan sebahagiannya dengan empat pelantikan setakat ini.

Jawatankuasa dijangka dimuktamadkan Oktober depan bersempena mesyuarat majlis seterusnya.

Tengku Zafrul turut mengesahkan cadangan menstruktur semula jawatankuasa BAM bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran.

Lima sasaran utama BAM termasuk menjuarai Piala Thomas 2026 dan meraih pingat emas Olimpik 2028.

BAM juga bercita-cita melonjakkan Malaysia ke ranking nombor satu dunia dalam tiga daripada lima acara utama- Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *