Kerajaan teliti undang-undang sedia ada tangani isu buli – Nancy

KUCHING: Kerajaan akan meneliti keperluan menambah baik undang-undang sedia ada bagi menangani isu buli.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan walaupun ia di luar bidang kuasa kementeriannya, pihaknya bersedia berbincang dengan kementerian berkaitan untuk melihat penambahbaikan undang-undang jika diperlukan.

“Setakat ini mungkin belum ada keperluan menggubal, cuma kes buli mutakhir ini boleh memberi idea baharu untuk kita melihat penambahbaikan undang-undang, sekiranya perlu,“ katanya.

Nancy menegaskan bahawa isu undang-undang buli terletak di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Beliau menyatakan perkara itu akan dibincangkan bersama menteri lain dalam mesyuarat Kabinet.

Nancy mengulas desakan Gerakan Gubal Akta Anti-Buli (GAB) yang mahu kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus bagi menangani gejala buli.

Pengerusi Sekretariat GAB, Wan Azliana Wan Adnan, sebelum ini dilaporkan berkata usaha menggubal akta itu sudah dimulakan sejak 2022.

Bagaimanapun, Nancy menjelaskan tiada keperluan mewujudkan undang-undang baharu buat masa ini.

Kesalahan berkaitan buli sudah termaktub dalam Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025.

Kedua-dua akta berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 dan Dewan Negara pada 16 Disember 2024.

Program anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) itu menghimpunkan 550 peserta.

Objektif program adalah memberi pendedahan mengenai fungsi agensi di bawah KPWKM untuk manfaat masyarakat Sarawak- Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *