KUALA LUMPUR: Sepasukan pegawai daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan ke Sabah dalam masa terdekat bagi merakam keterangan tiga pegawai kanan polis yang terlibat dalam siasatan awal kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchai berkata JIPS telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintenden (ASP), dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
Ketiga-tiga pegawai tersebut disyaki melakukan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes tersebut.
“Pegawai JIPS Bukit Aman akan ke sana dalam tempoh satu atau dua hari lagi bagi mengambil keterangan ketiga-tiga pegawai berkenaan,” kata Ayob Khan.
Beliau menegaskan siasatan ini berkaitan ketidakpatuhan SOP siasatan kes Zara Qairina dan penyeliaan terhadap pegawai penyiasat.
Ayob Khan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam tadi.
Beliau menambah tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelia yang bertanggungjawab sekiranya terbukti berlaku ketidakpatuhan SOP siasatan.
Setakat ini, ketiga-tiga pegawai kanan terbabit masih menjalankan tugas seperti biasa.
Pada Rabu lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar memaklumkan dapatan awal siasatan Pasukan Petugas Khas Bukit Aman mendapati wujud unsur ketidakpatuhan SOP oleh pegawai penyiasat.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai lepas.
Pelajar Tingkatan Satu itu dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi 16 Julai. – Bernama