Hormati Jalur Gemilang tanggungjawab rakyat Malaysia – MB Perak

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa menghormati Jalur Gemilang adalah kewajipan setiap rakyat Malaysia.

Beliau menyatakan bahawa penghormatan terhadap bendera negara tidak sepatutnya dipengaruhi oleh perbezaan bangsa, agama, atau ideologi politik.

“Apabila kita kibarkan Jalur Gemilang, biarlah dengan tertib dan beradab, jangan terbalik, jangan dibiarkan lusuh atau dibiarkan koyak… kalau salah cara pemasangan, sama-sama kita betulkan, kalau ada yang tidak faham, sama-sama kita beri pencerahan.”

“Inilah tanda kita rakyat yang cakna, rakyat yang peduli,“ katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Perak.

Saarani menjelaskan bahawa menghormati Jalur Gemilang mencerminkan penghormatan terhadap Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.

Beliau menekankan bahawa bendera negara melambangkan maruah, sejarah, dan masa depan rakyat Malaysia.

“Setiap kali ia berkibar megah, biarlah hati kita turut berkobar dengan semangat merdeka, menyedarkan kita bahawa di bawah panji inilah kita bersatu, di bawah panji inilah kita berjuang dan di bawah panji inilah kita akan terus melangkah membina masa depan.”

Saarani menggesa rakyat Malaysia menjadikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai ikrar untuk terus memelihara keamanan dan perpaduan.

“Jangan biarkan kemerdekaan ini hanya tercatat pada tarikh di kalendar, biarlah ia hidup di setiap denyut nadi kita… dengan nikmat keamanan itu, mudah-mudahan kita menjadi insan yang selalu bersyukur.”

Majlis tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran agensi kerajaan dan swasta serta Program Jualan Rahmah.

Pengunjung juga berpeluang menikmati persembahan artis terkenal seperti Zamani Slam. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *