KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz percaya beregu utama negara berpotensi mara ke final Kejohanan Dunia 2025.
Beliau menyatakan harapan tinggi diberikan kepada pasangan beregu negara memandangkan prestasi terkini mereka dalam ranking dunia.
“Sekurang-kurangnya, untuk beregu, mereka sepatutnya boleh ke final, bukan? Ini jangkaan semula jadi kalau tengok kedudukan ranking mereka,” katanya.
Tengku Zafrul menekankan bahawa BAM tidak menetapkan sasaran rasmi tetapi berharap prestasi pasukan selari dengan kedudukan ranking.
Tumpuan utama diberikan kepada beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menduduki tangga kedua dunia.
Beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah turut dijangka menunjukkan prestasi cemerlang di kejohanan tersebut.
Aaron-Wooi Yik akan memulakan aksi di pusingan kedua Kejohanan Dunia Paris menentang sama ada pasangan Sepanyol atau Scotland.
Pearly-Thinaah juga akan bertanding di pusingan kedua menentang pasangan Hong Kong atau Switzerland.
Kejohanan Dunia 2025 dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos di Paris – Bernama