GEORGE TOWN: Sebanyak 5,049 akaun pengguna di kawasan Jalan Lingkaran Luar Butterworth akan mengalami gangguan bekalan air berjadual pada Selasa ini.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyatakan gangguan itu berlaku dari jam 10 pagi hingga 3 petang.
Ia disebabkan oleh penutupan injap 450mm bagi kerja simulasi injap di kawasan berkenaan.
“Akaun pengguna yang terlibat meliputi Taman Perkasa, Taman Meranti, Bagan Lebai Tahir, Pantai Bersih, dan TUDM Butterworth,” menurut PBAPP.
Kawasan lain yang terjejas termasuk Taman Ratna, Pantai Robina, dan seluruh Jalan Teluk Air Tawar.
PBAPP turut memaklumkan gangguan bekalan air di Balik Pulau bermula 10 malam Rabu hingga 6 pagi Khamis.
Ia melibatkan 2,500 akaun pengguna akibat kerja pemasangan paip 300mm MS.
Kawasan terjejas di Balik Pulau termasuk Jalan Pondok Upeh, MRSM Balik Pulau, dan Taman Simpang Jaya – BERNAMA