SUBANG JAYA: ASEAN berpotensi menetapkan penanda aras bagi pertumbuhan mampan di Selatan Global jika dasar, perniagaan dan rakyat diselaraskan dengan masa depan rendah karbon.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.
Beliau menekankan pentingnya rantau ini lebih proaktif dalam kepimpinan iklim memandangkan ASEAN terdedah kepada risiko iklim.
“ASEAN mempunyai jajaran pantai yang panjang iaitu 173,000 kilometer, menjadikannya sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim,“ katanya.
Tengku Zafrul menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi dan Kepimpinan (ELF) di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia sedang menggiatkan inisiatif kemampanan sebagai matlamat kolektif berikutan kepengerusian ASEAN.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong kemampanan tetapi juga berdaya maju dari segi kewangan,“ jelasnya. – Bernama