KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh telah selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 1.25 pagi tadi.
Beliau disiasat berhubung perhimpunan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Khamis lepas.
Peguamnya, Aizat Azam menyatakan Muhamad Akmal memberikan kerjasama yang baik semasa sesi soal siasat.
“Beliau menjawab semua kira-kira 80 soalan yang ditanya pegawai penyiasat,“ katanya kepada pemberita di hadapan IPD.
Muhamad Akmal disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis.
“Kami tidak akan lari dan bersedia menghadapi apa jua tindakan,“ tegas Muhamad Akmal.
Beliau tiba di IPD Dang Wangi pada pukul 11 malam tadi untuk proses rakaman keterangan.
Polis sebelum ini mengesahkan siasatan dimulakan berikutan video tular di platform Facebook atas nama Akmal Salleh.
Siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan. – Bernama