Agong tegur pemakaian beret, lencana kehormat tanpa kelayakan

MERSING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegur pemakaian beret dan lencana kehormat pada pakaian seragam tentera yang disifatkan tidak boleh dipakai sewenang-wenangnya pada semua acara.

Sultan Ibrahim bertitah setiap beret dan lencana yang dipakai mencerminkan kemahiran serta kelayakan anggota pasukan keselamatan dan bukan sekadar hiasan.

“Semua beret dan lencana yang dipakai menunjukkan kemahiran dan kelayakan siapa diri awak yang sebenar dan bukan pakai letak untuk ‘melawa’ sahaja,” titah baginda.

Baginda memberi contoh bahawa dirinya layak memakai lencana Special Forces kerana telah lulus latihan di Fort Bragg, Amerika Syarikat.

“Tetapi jika seseorang hanya menerima lencana kehormat, ia hanya boleh dipakai pada acara tersebut sahaja, bukan untuk melawa setiap hari,” tegas Sultan Ibrahim.

Teguran itu disampaikan semasa Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 di Kem Iskandar.

Turut berangkat Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas menekankan pentingnya disiplin dan dedikasi dalam pasukan.

Baginda mengingatkan anggota GGK supaya mengekalkan martabat rejimen agar sentiasa disegani kawan dan digeruni lawan.

“Saya berharap rejimen ini akan terus unggul sebagai sebuah pasukan strategik negara,” titah baginda.

Perbarisan itu dianjurkan bagi memperingati penubuhan RGK dan menghargai jasa anggota dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Akhir kata, marilah kita berdoa ke hadrat Ilahi semoga Malaysia sentiasa dilimpahkan rahmat,” titah Seri Paduka Baginda. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *