MERSING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan Kementerian Pertahanan agar tidak mengulangi kesilapan membeli aset ketenteraan terpakai yang membahayakan nyawa anggota tentera.
Baginda menegaskan pengalaman negara membeli pesawat Skyhawk terpakai dahulu harus dijadikan pengajaran kerana ia akhirnya tidak berguna.
“Jangan ulangi kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat second hand Skyhawk… adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam keranda terbang? Awak fikirlah sendiri,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda turut mengkritik kementerian kerana didominasi ejen dan bekas jeneral yang bertindak sebagai jurujual aset ketenteraan.
“Saya percaya semua ini berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ejen atau bekas jeneral yang jadi salesman (jurujual), malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual dron,” titah baginda.
Sultan Ibrahim juga menasihatkan Menteri Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun.
Baginda menekankan pentingnya penilaian telus mengikut harga pasaran dan keperluan sebenar tentera, bukan sekadar mengikut cadangan ejen.
“Jangan buang masa beli barang yang merepek dan tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu,” titahnya.
Sultan Ibrahim turut membangkitkan isu pembelian bot tempur kecil pada harga melambung tanpa justifikasi jelas.
“Lima tahun dulu saya pernah tegur tentang pembelian bot rigid raiding craft untuk komando pada harga RM5 juta, sedangkan saya boleh dapatkan bot lebih baik pada harga tidak sampai RM2 juta,” titah baginda.
Baginda kesal dengan cadangan terbaru membeli bot serupa tetapi lebih besar dengan harga hampir RM10 juta.
“Semua ini tidak masuk akal dan perlu diteliti betul-betul,” tegas Sultan Ibrahim.
Baginda mengingatkan bahawa peruntukan kerajaan akan habis jika pembelian aset terus dibuat melalui orang tengah.
“Oleh itu jangan cuba hendak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan tegur lagi,” titah baginda.
Selain itu, Sultan Ibrahim menegur kelewatan projek kolam renang selam tempur di Kem RGK yang sepatutnya siap pada 2022.
Baginda menyeru kerajaan memberi keutamaan kepada peralatan baharu bagi meningkatkan kesiapsiagaan Rejimen Gerak Khas.
Majlis perbarisan itu diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-60 penubuhan RGK serta menghargai jasa pasukan elit tersebut. – Bernama