Tiada bahan kimia berbahaya atau mayat dijumpai dalam kapal “hantu”

CHUKAI: Tiada sebarang bahan kimia berbahaya atau mayat manusia ditemukan dalam kapal “hantu” yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata sebanyak 17 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan tiga pegawai Jabatan Laut Malaysia (JLM) Terengganu terlibat dalam pemeriksaan selama sejam di tiga aras kapal sepanjang 53.7 meter (m) dan selebar 10m itu di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

Beliau berkata pihak bomba telah menggunakan dua jenis alat berteknologi tinggi iaitu Four Gas Meter (FGM) dan Gasmet untuk mengesan kehadiran sebarang bahan atau gas berbahaya di dalam kapal berkenaan.

“Pihak HAZMAT telah menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk mengesan sebarang bacaan daripada bahan kimia atau gas berbahaya di ketiga-tiga aras kapal.

“Didapati kawasan itu selamat dan tiada petunjuk kehadiran jasad manusia. Pada mulanya memang terdapat bau kurang menyenangkan, tetapi selepas diperiksa ia berpunca daripada bahan mentah dalam peti sejuk,“ katanya pada sidang media di Zon Maritim Kemaman, di sini hari ini.

Abdul Halim berkata kapal ‘hantu’ seberat 293 tan itu akan diserahkan kepada JLM untuk tindakan lanjut.

Selain itu, pihak Maritim akan menjalankan rondaan secara berkala di sekitar kawasan kapal bagi memastikan tiada aktiviti pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kapal ini akan diserah kepada JLM untuk tindakan selanjutnya. Untuk sementara waktu ia akan ditempatkan di KSB sehingga proses seterusnya selesai,“ katanya.

Terdahulu kapal “hantu” itu berjaya ditunda ke KSB, di sini kira-kira 11.30 pagi tadi sebelum pemeriksaan keselamatan pada 3.30 petang – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *