Murid prasekolah cedera ditolak rakan dirawat di HSA Johor

JOHOR BAHRU: Seorang murid perempuan prasekolah mengalami keretakan dan pendarahan di kepala selepas dipercayai terjatuh akibat ditolak rakan di sebuah sekolah di negeri ini.

Kejadian berlaku pada Isnin lepas dan mangsa kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail@Md On mengesahkan mangsa telah menjalani pembedahan selama lebih tujuh jam.

“Kanak-kanak itu kini berada di bawah pemerhatian rapi pihak hospital,“ katanya.

Difahamkan kejadian berlaku ketika murid tersebut menemani ibunya, seorang guru prasekolah yang sedang menyiapkan pentas untuk program Sambutan Hari Lahir Peringkat Sekolah.

Mangsa dilaporkan terjatuh di tapak perhimpunan sekolah sekitar pukul 6.45 petang.

“Ketika bermain bersama rakan, murid ini terjatuh tetapi tiada kecederaan luaran yang kelihatan sehingga ke malam,“ jelas Khairin-Nisa.

Namun, mangsa didapati tidak sedarkan diri sekitar pukul 2 pagi dan segera dibawa ke Hospital Mersing.

Mangsa kemudian dirujuk ke HSA setelah pemeriksaan mendedahkan keretakan dan pendarahan di bahagian kepala.

Khairin-Nisa turut menziarahi keluarga mangsa di hospital bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor, Ahmad Hashim Selamat dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Mohd Hanafi Samad.

“Semoga adik ini diberikan kesembuhan sepenuhnya dan keluarga terus diberikan kekuatan,“ ujarnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *