CHUKAI: Kapal ‘hantu’ yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu sejak 12 Ogos lepas telah ditunda ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Teluk Kalung.
Kapal itu tiba kira-kira jam 11.30 pagi tadi untuk menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum siasatan penuh dijalankan.
Pengarah Maritim Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata 12 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) akan memasuki kapal petang ini.
Pemeriksaan awal oleh HAZMAT akan diikuti oleh pasukan keselamatan lain bagi memastikan kapal bebas risiko.
Proses menunda kapal diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur dan Petronas.
Beberapa agensi swasta turut bekerjasama dalam operasi berkenaan.
Kapal selamat tiba di KSB selepas perjalanan sejauh 140 batu nautika yang mengambil masa lebih dua hari.
Menurut Mazlan, operasi ini melibatkan 62 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan serta industri minyak dan gas.
Helikopter Dauphin AS 365 N3 digunakan untuk pemantauan udara manakala Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim diterbangkan dari Kerteh.
Pasukan berjaya memasang tali tunda sebelum kapal penyelamat MV JM Purnama membawa kapal hantu itu ke destinasi.
Operasi ini berisiko kerana kapal hantu tidak mempunyai penumpang dan punca kebakaran tidak diketahui.
Pihak Maritim percaya kapal hantu itu berkaitan dengan kejadian kebakaran kapal tangki asing di Tanjung Sedili Kecil minggu lepas.
Identiti kapal hantu masih dalam siasatan – Bernama