IPOH: Seorang anggota polis maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 94 Jalan Ipoh-Butterworth berdekatan Taman Selinsing Indah, Bagan Serai.
Mangsa dikenali sebagai Konstabel Muhammad Hakim Danial Ruhiman, 23, yang berkhidmat di Balai Polis Bagan Serai.
Beliau mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang dan kaki sebelum meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Taiping.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 6.25 petang daripada orang awam.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Bagan Serai ke Taiping telah bergesel dengan sebuah lori dari arah sama,“ katanya.
Mangsa dilaporkan jatuh ke atas jalan raya selepas pergeseran itu.
Pegawai penyiasat mendapati lori terbabit sudah tiada di lokasi kejadian ketika mereka tiba.
“Orang awam di sekitar juga tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai lori tersebut,“ jelas Noor Hisam.
Polis kini sedang mengesan rakaman kamera litar tertutup dan kamera papan pemuka kenderaan lain untuk membantu siasatan.
Pihak berkuasa turut berusaha mengesan pemandu lori terbabit bagi mendapatkan keterangan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Nur Hafilah Mohd Ibrahim di talian 019-472 0231,“ kata Noor Hisam.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama