MELAKA: Polis menahan empat individu termasuk dua warga asing atas syak terlibat dalam sindiket mencuri susu formula dan serbuk kopi di beberapa pasar mini di Melaka, Negeri Sembilan, dan Pahang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit memaklumkan suspek terdiri daripada seorang wanita berusia 50 tahun dan tiga lelaki berumur 23 hingga 33 tahun.
Mereka ditahan di sebuah kondominium sewa di Kuala Lumpur pada 10 Ogos lepas kira-kira pukul 12.05 tengah malam.
Penahanan dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah selepas menerima dua laporan kecurian pada 2 Ogos.
Kejadian kecurian berlaku di dua premis pasar mini di Taman Paya Emas dan Bandar Baru Sungai Udang.
Pemeriksaan lanjut menemui 72 kotak susu formula, 15 peket susu formula, 12 tin susu kesihatan, dan 22 peket minuman kopi bernilai RM12,600.
Barang rampasan lain termasuk sebuah kereta, empat telefon bimbit, pakaian, topi, dan peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.
Menurut Christopher, sindiket ini beroperasi dengan menyamar sebagai pelanggan sambil menyembunyikan barangan curian dalam pakaian.
Dua lelaki bertindak mengawal lorong rak barangan manakala seorang lagi menunggu di luar premis.
Siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak 2011 dan terlibat dalam 12 kes kecurian dalam tempoh seminggu sebelum ditahan.
Kesemua suspek direman dari 10 hingga 15 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – Bernama