PUTRAJAYA: Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menjadi tokoh pertama menerima pengiktirafan Hall of Fame di Maktab Ketahanan Nasional.
Beliau menyifatkan penghargaan ini sebagai kemuncak dalam kerjaya ketenteraannya.
“Saya merupakan Kohort pertama pada 2020. Setiap perjalanan, terutama dalam bidang ketenteraan, ini merupakan antara kemuncak pencapaian seseorang dan saya amat bersyukur kepada Allah,“ katanya.
Mohd Nizam ialah alumni dan peserta perintis Kursus Maktab Ketahanan Nasional pada 2020.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Komandan kedua institusi tersebut pada tahun yang sama.
Sebagai bekas Komandan, beliau menyumbang dalam inisiatif strategik semasa pandemik seperti pembangunan JCOP dan simulasi pengurusan pasca-PKP.
Di bawah kepimpinannya, MKN berkembang dengan penyertaan global melibatkan pegawai tinggi kerajaan luar negara.
Pengiktirafan ini bukan sekadar penghormatan peribadi tetapi mengesahkan kepimpinan strategik dan ketahanan mental beliau.
Dengan moto Duty, Honour, Sacrifice, beliau membuktikan ATM mampu mewujudkan legasi yang mengubah landskap pertahanan negara. – Bernama