PUTRAJAYA: Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(2) mencipta sejarah dengan menghasilkan seni capan Jalur Gemilang terbesar di negara ini.
Karya berukuran 8.13 meter lebar dan 3.56 meter tinggi itu dihasilkan oleh 120 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Projek ini disiapkan dalam tempoh dua minggu dengan bimbingan 27 guru pendidikan khas serta pentadbir sekolah.
Guru Besar SKPP 8(2) Zamzuriah Md Desa berkata idea ini tercetus untuk menghargai bakat murid PPKI.
“Ini juga melahirkan rasa cinta akan negara dalam diri murid-murid ini,” katanya selepas majlis pengiktirafan MBR.
Beliau menegaskan projek ini menyerlahkan kecekalan guru pendidikan khas sebagai ‘wira tidak didendang’.
“Mereka dilatih untuk mengajar, membimbing dan membantu murid pendidikan khas dalam segala aspek pendidikan,” jelasnya.
Capan Jalur Gemilang itu dipamerkan di Dewan SKPP 8(2) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Muhammad Fikri Khalid@Aziz merasmikan pameran tersebut. – Bernama