KUALA LUMPUR: Motosikal digunakan dua individu yang dipercayai terlibat dalam serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya petang semalam, disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata maklumat itu berdasarkan hasil pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran motosikal yang digunakan semasa kejadian dan pihaknya sedang giat mengesan kedua-dua suspek terbabit.
“Setakat ini, penyerang dikesan ialah dua individu, namun identiti suspek masih belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Shazeli berkata polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti cecair yang didakwa digunakan di dalam jarum suntikan ketika kejadian.
Semalam, polis mengesahkan kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Shazeli berkata mangsa ialah seorang kanak-kanak lelaki dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut di sebuah hospital di Selangor.
Beliau berkata siasatan masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian.
Rafizi dalam kenyataan semalam mengesahkan mangsa serangan itu ialah anaknya dan ketika kejadian, dua suspek lelaki terbabit berpakaian hitam, bertopi keledar dan menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isterinya.
Menurut Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan – BERNAMA