KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM38.92 bilion bagi enam bulan pertama 2025.
Angka ini menunjukkan peningkatan 3.0 peratus berbanding RM37.90 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan tersebut termasuk keuntungan belum direalisasikan sebanyak RM0.44 bilion daripada turun naik kadar pertukaran asing.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata prestasi kukuh ini didorong pemulihan pasaran stabil dan pengurusan portfolio berdisiplin.
“Pendekatan pelaburan jangka panjang kami yang pelbagai terus menghasilkan prestasi berdaya tahan,“ katanya.
KWSP mencatat pendapatan pelaburan RM20.61 bilion pada suku kedua 2025, meningkat 22 peratus berbanding suku sama 2024.
Ekuiti kekal penyumbang utama dengan RM13.77 bilion, merangkumi 67 peratus jumlah pendapatan suku tersebut.
Instrumen pendapatan tetap pula menyumbang RM6.73 bilion atau 33 peratus pendapatan pelaburan suku kedua.
Hartanah dan infrastruktur mencatat pendapatan RM0.29 bilion, manakala pasaran wang mengalami kerugian RM0.18 bilion akibat pengukuhan ringgit.
Sehingga 30 Jun 2025, jumlah aset KWSP berkembang 8.0 peratus kepada RM1.31 trilion.
Pelaburan antarabangsa membentuk 39 peratus aset dan menyumbang RM12.92 bilion pendapatan suku kedua.
KWSP mendaftar 286,194 ahli baharu separuh pertama 2025, menjadikan jumlah ahli aktif kepada 8.98 juta orang.
Caruman suku kedua meningkat 13.8 peratus kepada RM31.21 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Caruman sukarela melonjak 55 peratus kepada RM11.68 bilion dalam tempoh sama.
KWSP akan memperkukuh libat urus dengan majikan bagi memastikan pelaksanaan caruman mandatori pekerja asing berjalan lancar.
Dasar baru ini berkuat kuasa mulai gaji Oktober 2025 bagi caruman November.
KWSP juga menegaskan tiada perubahan kepada hak pengeluaran sedia ada dalam cadangan penstrukturan semula akaun persaraan. – Bernama