Kerjasama pasaran filem dan animasi Malaysia diperkukuh di ASEAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperkukuh kerjasama pasaran filem dan animasi tempatan dengan negara-negara jiran menerusi usaha memperluas penyebaran harta intelek (IP) industri kreatif Malaysia ke pasaran serantau.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kini dalam usaha menjalinkan jaringan strategik bagi memudahkan kemasukan IP tempatan ke beberapa negara ASEAN.

Beliau menyatakan negara seperti Indonesia, Vietnam dan Kemboja mempunyai potensi pasaran besar untuk produk kreatif Malaysia.

“Kalau kita lihat sebelum ini, animasi Upin & Ipin mendapat sambutan amat baik di Indonesia. Beberapa filem tempatan juga mudah menembusi pasaran Vietnam dan Kemboja.

“Usaha ini akan terus dipergiat bagi membuka peluang lebih luas kepada penggiat industri kreatif negara,” katanya pada sidang media sempena ‘Riuh Hangout 2025’ anjuran MyCreative Venture.

Fahmi berkata arahan telah diberikan kepada Finas dan MyCreative Ventures untuk menyediakan dana serta memudah cara proses kolaborasi antara penggiat animasi dan pihak perbankan korporat.

Beliau menekankan pentingnya sinergi antara sektor perbankan korporat dan industri kreatif bagi urusan pendanaan.

“Kita mahu wujudkan sinergi antara sektor perbankan korporat dan industri kreatif bagi urusan pendanaan. Hubungan ini akan dirapatkan manakala urusan pelesenan dan pameran akan turut diuruskan oleh Finas,” katanya.

Langkah ini selari dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada pengukuhan ekonomi kreatif sebagai pemacu pertumbuhan baharu negara.

Fahmi berkata perkembangan terkini mengenai inisiatif tersebut dijangka dibentangkan ketika sesi penggulungan beliau di Parlimen pada 20 Ogos ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *