Hubungan erat pelbagai kaum aset berharga negara – MB Pahang

KUANTAN: Hubungan erat antara masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan aset berharga yang bukan sekadar simbol kemerdekaan, tetapi lambang keamanan dan kesejahteraan negara.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru semua pihak mengelakkan perpecahan yang hanya akan merugikan.

Beliau menegaskan agar perbezaan pandangan tidak memutuskan silaturahim atau mencetuskan permusuhan.

“Semangat kebangsaan ini menuntut kita untuk terus mempertahankan keharmonian kaum yang telah kita bina selama ini,” katanya.

Beliau menolak keras permainan persepsi, fitnah, dan tohmahan yang sengaja ditiupkan untuk memecah-belahkan rakyat.

“Perkara ini bukan sahaja menghakis kepercayaan sesama kita, malah akan menyebabkan rakyat tidak bersatu,” jelasnya.

Ucapan beliau disampaikan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.

Wan Rosdy menyeru semua pihak mengisi kemerdekaan dengan semangat toleransi dan saling memahami.

“Kita perlu bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal, tetapi juga belenggu kebencian dan perpecahan,” tegasnya.

Sementara itu, beliau menyifatkan belanjawan tambahan Pahang yang diluluskan hari ini antara yang terendah sejak 2022.

Belanjawan tambahan RM141 juta itu merangkumi tujuh perkara termasuk kenaikan gaji penjawat awam.

“Ini adalah perkara wajib yang tidak dapat dielakkan,” kata Wan Rosdy.

Kerajaan negeri perlu membuat bayaran ini sebagai proses biasa bagi perkara di luar jangka. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *