KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Wilayah Persekutuan dengan Singapura dan Indonesia dijangka memberi impak besar dalam merealisasikan Visi ASEAN 2045, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat Menteri Negara Kanan Singapura Low Yen Ling dan Wakil Menteri Dalam Negeri Indonesia Bima Arya Sugiarto.
Dalam pertemuan dengan Low, Zaliha menyatakan perbincangan tertumpu kepada amalan terbaik pembandaran di ASEAN termasuk konsep Bandar CHASE iaitu Clean, Healthy, Advanced, Safe dan Eco Friendly yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan.
“Saya turut berkongsi bagaimana inisiatif ini bermula dengan mendengar suara rakyat dan diintegrasikan dengan pembangunan seperti Kota MADANI,” katanya.
Mereka juga membincangkan konsep bandar dipimpin wanita, tenaga bersih, cukai karbon serta ruang kerjasama teknikal dalam tadbir urus bandar pintar dan pengurusan alam sekitar.
Dalam pertemuan dengan Bima Arya, Zaliha berkata mereka bertukar pandangan mengenai pelancongan tanpa sempadan, pengurusan sisa dan logistik rentas negara selaras dengan aspirasi ASEAN 2045.
“Saya turut menjemput Jakarta untuk menyertai inisiatif Bandar CHASE di bawah dasar Malaysia MADANI,” tambahnya.
Perbincangan turut merangkumi kerjasama dalam ekonomi digital seperti masyarakat tanpa tunai serta memperkasa generasi muda dan wanita melalui infrastruktur kerja fleksibel.
Zaliha turut mengundang Indonesia menyertai sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi mengukuhkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Pertemuan tersebut diadakan sempena Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – Bernama