JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun maut selepas rumahnya di Kampung Bukit Siput, Segamat, dibakar oleh sepasang kekasih yang dipercayai diupah sindiket pemberi pinjaman wang haram atau ‘along’ dari Singapura pada 25 Julai lalu.
Ketua Polis Johor CP Ab Rahaman Arsad berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran yang melibatkan lima rumah pada pukul 4.30 pagi.
“Siasatan daripada pihak polis dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian kebakaran itu,“ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Polis Johor menubuhkan pasukan petugas khas dan berjaya menahan sepasang kekasih berusia 21 dan 19 tahun di Subang Jaya, Selangor seminggu selepas kejadian.
“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, mereka mengaku diupah sindiket ‘along’ di Singapura untuk melakukan ugutan jenayah dengan khianat membakar rumah peminjam yang tidak membayar pinjaman,“ jelas Ab Rahaman.
Pasangan kekasih itu didapati aktif melakukan jenayah khianat di Johor dan Selangor sejak Julai lalu dengan bayaran RM1,000 bagi setiap tugasan.
“Ketika kejadian, warga emas itu tinggal bersendirian dan tiada ahli keluarga lain berada di rumah berkenaan serta tidak pernah menerima ugutan jenayah,“ tambahnya.
Empat kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dengan arahan pertuduhan dikeluarkan.
Suspek lelaki akan didakwa di Mahkamah Majistret Segamat esok di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat serta Seksyen 436 dan 507 bagi kesalahan khianat dan ugutan jenayah.
Teman wanitanya dibebaskan dengan jaminan polis dan akan menjadi saksi pendakwaan. – Bernama