Rumah Putih ancam penjara gelandangan di Washington

WASHINGTON: Rumah Putih pada Selasa mengancam untuk memenjarakan golongan gelandangan di Washington.

Tindakan ini susulan campur tangan kontroversi melibatkan polis dan penempatan Pasukan Pengawal Kebangsaan di ibu negara AS.

Jurucakap Presiden AS Donald Trump, Karoline Leavitt, berkata individu gelandangan diberi pilihan untuk meninggalkan kawasan penempatan mereka.

Mereka juga boleh dibawa ke pusat perlindungan untuk rawatan ketagihan atau kesihatan mental.

Jika enggan, mereka akan dikenakan denda atau berdepan hukuman penjara.

Trump mengisytiharkan darurat di Washington pada Isnin berikutan dakwaan jenayah berleluasa.

Beliau mengerahkan 800 anggota Pengawal Kebangsaan ke bandar itu.

Pasukan polis di daerah ibu negara Washington diletakkan sementara di bawah arahan Peguam Negara AS, Pam Bondi.

Tiada bukti peningkatan kesalahan jenayah disahkan setakat ini.

Datuk Bandar Washington Muriel Bowser menolak dakwaan Trump.

Beliau memberitahu stesen radio kadar jenayah di bandar itu adalah terendah dalam 30 tahun.

Bowser menegaskan pihak bandar raya dan polis akan terus bekerjasama.

Bondi pula menyifatkan mesyuaratnya dengan Bowser sebagai produktif.

Trump sebelum ini menggesa gelandangan keluar dari ibu negara dengan segera.

Beliau menawarkan tempat tinggal alternatif jauh dari Washington.

Leavitt berkata kerajaan masih mempertimbangkan pilihan tersebut. – Bernama, dpa

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *