PM Anwar tekankan koordinasi mantap dalam pembangunan usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan koordinasi lebih mantap antara pelaksana inisiatif pembangunan usahawan Bumiputera bagi memastikan setiap usaha dilaksanakan secara berfokus dan saling melengkapi.

Beliau berkata perkara itu ditekankan ketika menerima kunjungan hormat Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Nasional Mohd Azamanizam Baharon dan delegasi.

“Dalam pertemuan ini, saya menegaskan rasional dan ketetapan kerajaan berhubung agenda pembangunan Bumiputera yang perlu difahami dan dihayati oleh semua persatuan, termasuk PERDASAMA,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar menyatakan kerajaan menyambut baik cadangan inisiatif yang diutarakan PERDASAMA dan yakin kerjasama strategik ini akan memberikan impak lebih besar dalam memperkukuh ekosistem perniagaan Bumiputera.

Beliau menambah PERDASAMA sebagai persatuan yang menghimpunkan 27,263 syarikat Bumiputera telah memainkan peranan penting dalam menggembleng tenaga, kepakaran dan jaringan dalam kalangan ahlinya.

“Saya yakin kerjasama strategik ini akan memperluas peluang ekonomi negara,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *