PGA tahan tiga lelaki, rampasan minuman keras tidak bercukai RM1.23 juta

SHAH ALAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar dalam operasi bersepadu intra/inter agensi di sebuah premis di Shah Alam, Selangor.

Menurut kenyataan PGA, serbuan itu turut merampas 57,816 tin minuman keras pelbagai jenis yang tidak bercukai serta sebuah lori dan empat telefon bimbit pelbagai jenama.

“Kesemua rampasan dianggar bernilai lebih RM1.23 juta,“ jelas PGA dalam kenyataan rasmi.

Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 29 hingga 68 tahun sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Undang-Undang Kecil 1974.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut mengeluarkan kompaun RM2,000 ke atas premis terlibat kerana melanggar Akta Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Bandaraya Shah Alam 2007.

Operasi ini diketuai Cawangan Pengoperasian Ibu Pejabat PGA Bukit Aman dengan kerjasama Risik Briged Tengah PGA, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan MBSA. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *