KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) melaporkan kerugian bersih RM1.08 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 berbanding keuntungan RM777 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Kerugian itu berpunca daripada pendapatan operasi (EBITDA) lebih rendah, pelupusan aset di Perstorp Holding AB, dan kerugian pertukaran mata wang asing.
Faktor lain termasuk peningkatan perbelanjaan kewangan akibat pelarasan pembayaran perdagangan di Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PPCSB).
Pendapatan syarikat merosot 16 peratus kepada RM6.44 bilion berbanding RM7.73 bilion sebelum ini.
Penurunan itu disebabkan jumlah jualan lebih rendah, pengukuhan ringgit, dan harga produk yang lemah.
Kadar penggunaan loji PCG turun kepada 77 peratus daripada 89 peratus pada suku sama tahun lepas.
Gangguan bekalan bahan mentah di PC Fertiliser Kedah dan peningkatan aktiviti penyelenggaraan loji menyumbang kepada pengeluaran berkurangan.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2025, PCG mencatat kerugian bersih RM1.10 bilion berbanding keuntungan RM1.45 bilion tahun sebelumnya.
Pendapatan susut tujuh peratus kepada RM14.09 bilion daripada RM15.23 bilion pada 2024.
Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan harga produk lebih rendah menjadi penyumbang utama kemerosotan.
Pengarah Urusan PCG Mazuin Ismail berkata suku kedua 2025 menyaksikan cabaran operasi dalaman dan luaran.
Syarikat menutup sementara PC Ethylene untuk pembaikan tangki tanpa menjejaskan komitmen kepada pelanggan.
Operasi di PC Aromatics juga dikurangkan akibat keadaan ekonomi tidak memberangsangkan.
Gangguan bekalan gas di Putra Heights turut menjejaskan operasi PC Fertiliser Kedah sebelum dipulihkan sepenuhnya pada Jun 2025.
Mazuin yakin asas kukuh dan inisiatif berterusan akan memperkukuh daya tahan syarikat meskipun pasaran mencabar.
PCG mengisytiharkan dividen interim tiga sen sesaham berjumlah RM240 juta, dibayar pada 10 September 2025. – Bernama