Pengarah syarikat didakwa 13 pertuduhan guna dokumen palsu

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan menggunakan tuntutan perjalanan dan invois palsu berjumlah 33,000 ringgit dua tahun lepas.

Foong Lai Sim, 51, pengarah Inovix (M) Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan cenderamata premium dan korporat, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Wanita itu didakwa menggunakan tuntutan perjalanan bagi baucar pembayaran palsu yang mengandungi tuntutan perbatuan dan elaun perjalanan serta satu invois pembelian penyaman udara dengan jumlah keseluruhan 33,000 ringgit.

Menurut pertuduhan, perjalanan tersebut tidak dilakukan manakala penyaman udara itu untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Desa Petaling antara Februari hingga Disember 2023 di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 465 kanun sama.

Hakim Suzana Hussin memerintahkan Foong diikat jamin 25,000 ringgit dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Selangor.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 25 September ini untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Selangor Asmaa’ Zamri dan Muaz Ahmad Khairuddin mengendalikan kes manakala peguam Lim Kon Keen mewakili tertuduh. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *