KUALA TERENGGANU: Seorang murid lelaki tahun dua mengalami kecederaan serius termasuk retak tulang mata dan patah tulang hidung selepas diserang oleh beberapa rakan sekolah pada 30 Julai lalu.
Ibu mangsa berusia 37 tahun mendedahkan anaknya pulang dari sekolah dalam keadaan berdarah dan lebam di bahagian muka sekitar jam 4 petang.
“Dia pulang dalam keadaan berdarah dan lebam selepas diserang oleh sekumpulan murid di sekolah.
“Ada yang memegang tangan… ada yang menolak dan menumbuk muka sehingga terjatuh,“ katanya.
Pemeriksaan di sebuah klinik swasta mengesahkan tulang hidung mangsa patah dan tulang mata retak, mendorong pihak klinik menasihatkan laporan polis dibuat.
Mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik terpaksa menjalani pembedahan untuk menyambung semula tulang hidung di Hospital Sultanah Nur Zahirah pagi tadi.
Ibu mangsa mendakwa insiden buli bukan kali pertama berlaku tetapi dia memilih untuk mendiamkan diri sebelum ini bagi mengelakkan masalah.
“Anak saya pernah mengadu dibuli dan dilontar dengan batu sehingga cedera di mata pada Jun lepas namun saya tidak membuat sebarang laporan,“ jelasnya.
Beliau mengambil keputusan untuk membuat laporan polis kali ini memandangkan kecederaan yang dialami lebih serius dan membimbangkan.
Pihak sekolah telah memanggil ibu bapa pelajar terlibat untuk berbincang pada Isnin lepas bagi menyelesaikan isu tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati insiden ini berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek,“ jelasnya.
Kes tersebut telah dirujuk kepada pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya. – Bernama