Malaysia gesa keterangkuman jadi piawaian tadbir urus bandar ASEAN

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa negara anggota ASEAN menjadikan keterangkuman sebagai piawaian dalam tadbir urus bandar menerusi inisiatif baharu, ASEAN Urban Women for Resilience and Transformative Sustainable Actions (AURORA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata wanita mewakili separuh daripada 680 juta penduduk bandar ASEAN tetapi penglibatan mereka dalam pembuat keputusan masih rendah.

“Di sesetengah majlis tempatan ASEAN, wanita mengisi kurang daripada 20 peratus jumlah kerusi,” katanya.

Ketidakseimbangan ini memberi kesan terhadap cara bandar menangani isu seperti keselamatan awam, akses penjagaan kanak-kanak, dan reka bentuk pengangkutan.

AURORA bertujuan memupuk kepimpinan lebih terangkum dengan menyatukan bandar-bandar ASEAN bagi memperkukuh penyertaan wanita dalam tadbir urus.

Zaliha berkata demikian pada forum A Women-Led City Initiative in ASEAN AURORA di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menegaskan bandar yang dipimpin wanita cenderung mengamalkan dasar lebih responsif terhadap keperluan keselamatan, kesejahteraan sosial, dan ekonomi.

Pengalaman Malaysia dalam perancangan responsif gender di 83 pihak berkuasa tempatan berjaya tingkatkan keselamatan awam dan akses pengangkutan.

Inisiatif AURORA menggalakkan bandar ASEAN guna rangka kerja sukarela termasuk sasaran penyertaan wanita dalam kepimpinan dan penilaian keselamatan awam.

Zaliha berkata langkah ini membantu bandar pantau kemajuan dan belajar antara satu sama lain.

Malaysia bertekad bekerjasama dengan negara ASEAN bagi perkongsian amalan terbaik dan memperkukuh kepimpinan inklusif. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *