KUALA LUMPUR: Kegagalan membayar cukai boleh menghalang seseorang daripada ke luar negara, kata Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pungutan Hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Azaharuddin Mohd Ali.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak status sekatan perjalanan melalui laman rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atau portal MyTax sebelum merancang perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Menurutnya sekatan boleh dikenakan terhadap individu atau pengarah syarikat — warganegara atau bukan warganegara — yang mempunyai tunggakan cukai pendapatan, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau cukai syarikat bagi pengarah yang memiliki sekurang-kurangnya 20 peratus saham.
“Sekatan boleh dikenakan mengikut Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 jika tunggakan tidak diselesaikan dan tiada kerjasama, walaupun beberapa tindakan awal telah diambil,” katanya dalam temu bual segmen Tak Lepas Ke Luar Negara: Adakah Cukai Puncanya? di Bernama Radio, semalam.
Azaharuddin berkata LHDN tidak mengenakan sekatan serta-merta, sebaliknya pembayar cukai akan menerima surat peringatan, e-mel dan panggilan telefon terlebih dahulu.
Mengenai pembatalan sekatan, beliau menjelaskan bahawa bayaran penuh cukai tertunggak perlu dibuat sebelum permohonan dibenarkan.
Bagaimanapun, pelepasan sementara sehingga tiga bulan boleh dipertimbangkan jika sebahagian tunggakan dibayar dan baki dijelaskan mengikut jadual ansuran yang dipersetujui, katanya.
Bermula 4 Mac lepas, pembayar cukai boleh memohon pembatalan sekatan secara dalam talian melalui perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan di portal MyTax, yang diproses dalam tempoh lima hari bekerja bagi kes yang memenuhi syarat kelayakan.
Sekatan perjalanan bukan sekadar isu undang-undang, tetapi juga boleh menjejaskan reputasi, hubungan peribadi dan kerjaya.
“Ia bukan bertujuan memalukan, sebaliknya langkah penguatkuasaan selepas peringatan diberikan. Pembayar cukai wajar peka dan berbincang dengan LHDN untuk penyelesaian, termasuk bayaran ansuran,” katanya. – Bernama