KUALA LUMPUR: Kadar keuntungan Tenaga Nasional Bhd (TNB) kekal pada 7.3 peratus dalam Tempoh Kawal Selia Ke-4 (RP4) dari 2025 hingga 2027.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjelaskan kadar tersebut sama seperti dalam Tempoh Regulatori Kedua (RP2) pada 2018.
“Jika TNB memperoleh keuntungan melebihi kadar ditetapkan, lebihan akan dikembalikan kepada pengguna melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik,“ katanya.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai keuntungan TNB selepas kenaikan tarif elektrik 14.2 peratus untuk sektor komersial pada 1 Julai.
Lim turut mempersoalkan sama ada kenaikan itu boleh ditangguh atau dipecahkan memandangkan keuntungan TNB meningkat lebih 70 peratus pada 2024.
Akmal Nasrullah menegaskan kadar 7.3 peratus adalah berpatutan bagi menampung pelaburan TNB dalam menaik taraf grid nasional.
Pelaburan tersebut termasuk menyokong Grid Tenaga ASEAN (APG), pembinaan loji janakuasa, dan pemasangan meter pintar.
Kadar ini juga memastikan TNB kekal stabil sebagai syarikat utiliti yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
Selain itu, ia memberikan pulangan munasabah kepada pemegang saham utama seperti Khazanah Nasional, KWAP, dan KWSP.
“TNB telah membayar dividen sebanyak RM15.75 bilion dari 2018 hingga 2023,“ jelas Akmal Nasrullah. – Bernama