JBPM tampil tarikan baharu, kekal tradisi Abang Sado di Hari Kebangsaan

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan memperkenalkan kenderaan komunikasi bergerak baharu dalam perarakan Hari Kebangsaan tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata kenderaan berteknologi tinggi itu berfungsi sebagai pejabat bergerak di kawasan bencana.

“Kenderaan ini lengkap dengan kemudahan untuk menghubungkan pusat kawalan, lapangan dan pusat gerakan operasi,” katanya.

Nor Hisham menambah kenderaan tersebut sedang dalam pembinaan akhir tetapi diusahakan untuk tampil dalam perbarisan di Putrajaya.

Tradisi ‘Abang Bomba Sado’ turut dikekalkan sebagai daya tarikan utama dalam sambutan tahun ini.

“Abang Sado ini sudah jadi ‘trademark’ kita…kalau tiada, rasa macam kurang meriah,” ujarnya.

Tahun ini, JBPM akan mengedarkan barangan istimewa yang lebih menarik berbanding gula-gula yang diedarkan pada tahun lepas.

Atlet bina badan yang memenangi pingat emas di Kejohanan ‘World Police and Fire Games Birmingham 2025’ turut akan menyertai perbarisan sebagai Abang Sado.

Selain itu, pelakon dan krew filem ‘Legasi: Bomba The Movie’ juga dijangka menjadi tarikan utama.

Filem itu dihasilkan dengan kerjasama JBPM untuk menonjolkan semangat dan pengorbanan anggota bomba.

Tayangan perdana filem tersebut dijadualkan pada 18 Ogos, diikuti tayangan amal pada 19 Ogos dan tayangan umum bermula 21 Ogos.

Perarakan turut melibatkan 250 anggota pelbagai pangkat, 60 ahli pancaragam JBPM, dan 23 aset pelbagai jenis.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos dengan tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.’

Maklumat lanjut mengenai sambutan boleh didapati melalui portal rasmi www.merdeka360.my atau media sosial Merdeka360. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *