PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat khas untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir esok selepas solat Maghrib di semua masjid dan surau bawah kelolaannya.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menyatakan majlis ini dilaksanakan mengikut arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau menegaskan Jakim akan memastikan pelaksanaan majlis ini berjalan dengan teratur dan selaras dengan syiar Islam.
“Majlis ini bukan sahaja sebagai doa untuk kesejahteraan Allahyarham malah sebagai tanda kasih sayang, solidariti dan keprihatinan kita sebagai umat Islam terhadap ahli keluarga yang sedang diuji,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan diseru untuk hadir dan menyertai majlis tersebut di masjid atau surau berdekatan.
“Semoga doa yang dipanjatkan secara bersama ini nanti menjadi sumber kekuatan dan ketenangan, di samping menjadi amal jariah yang berterusan buat Allahyarham,“ tambah Sirajuddin.
Jakim turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina.
Zara Qairina, 13, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah.
Pelajar tingkatan satu itu meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 16 Julai. – Bernama