Fahmi doakan anak Rafizi segera sembuh selepas serangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mendoakan anak bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli yang diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya petang tadi agar segera sembuh.

Beliau turut berharap keluarga Rafizi diberikan keselamatan selepas kejadian itu.

“Sebagai seorang bapa dengan anak-anak yang hampir sama usia anak saudara Rafizi Ramli, saya juga amat risau tentang keselamatan keluarga,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR menyatakan rasa sedih, terkejut dan marah selepas menerima berita mengenai serangan tersebut.

“Saya mendoakan Ben cepat sembuh, semoga Allah beri keselamatan kepada saudara Rafizi sekeluarga, dan semoga penyerang-penyerang ini segera diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan,” ujarnya.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang.

Mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan bersama ibunya dan pemandu mereka ketika kejadian.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pelaku serangan itu.

“Bagi pihak KEADILAN, saya amat terkejut, sedih dan mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak kepada Ahli Parlimen Pandan ini,” katanya.

Fuziah yang juga Setiausaha Agung PKR menegaskan kanak-kanak tidak boleh dijadikan mangsa dalam apa jua keadaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang turut mengecam serangan itu dan meminta polis bertindak segera mengenal pasti dalangnya.

“Jenayah serius ini jelas terancang dan bersasar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata serangan terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun itu sebagai perbuatan pengecut.

Chang menyeru semua ahli politik bersolidariti menentang budaya keganasan yang boleh merosakkan masa depan negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *