Dua pelajar perempuan didakwa kurung dan cedera rakan sekolah

SUNGAI PETANI: Dua pelajar perempuan tingkatan satu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengurung dan mencederakan seorang rakan sekolah mereka bulan lepas.

Kedua-dua remaja berusia 13 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri dalam prosiding tertutup.

Peguam N. Nagaratnam yang mewakili mereka memaklumkan bahawa bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mencederakan mangsa di dalam tandas sekolah pada 6.40 petang 14 Julai lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan itu dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,“ katanya.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengurung mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Nor memohon jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh, tetapi peguam memohon pengurangan memandangkan mereka masih bersekolah.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan melarang mereka mengganggu mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 September ini.

Di mahkamah sama, dua remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang remaja 16 tahun di sebuah sekolah pada 21 Julai lalu.

Peguam Farah Azlinda Zahari memaklumkan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menangguhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak dan menetapkan sebutan semula pada 28 Oktober.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin setiap seorang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *