BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas di dalam parit berhampiran Dewan Orang Ramai Parit Senah, Parit Ya’ani Tengah dekat Yong Peng pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada 10.48 pagi.
Sebanyak tujuh anggota bomba bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba Yong Peng dihantar ke lokasi.
Menurut kenyataan rasmi, remaja tersebut telah dikeluarkan dari parit oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Pasukan bomba melakukan pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar bagi memastikan tiada ancaman lain sebelum menyerahkan mangsa kepada polis.
Operasi penyelamatan ditamatkan sepenuhnya pada 11.38 pagi. – Bernama