Penjawat awam perlu elak ‘bahasa Putrajaya’ dalam komunikasi – KSN

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyeru penjawat awam mengamalkan komunikasi yang jelas dan mudah difahami.

Beliau menekankan pentingnya mengelakkan penggunaan “bahasa Putrajaya” yang terlalu teknikal atau berbelit-belit.

Hal ini bagi memastikan masyarakat, terutamanya golongan sasar, dapat memahami isu dan dasar kerajaan dengan lebih baik.

Shamsul Azri memberi contoh penerangan mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sering terlalu rumit.

“Penjelasan SST sering dibuat seakan-akan untuk profesor atau pegawai tinggi, sedangkan 85 peratus rakyat hanya mahukan bahasa biasa,“ katanya.

Beliau berucap pada sesi “Reformasi Satu Kemestian” Bersama KSN sempena setahun reformasi perkhidmatan awam.

Acara itu turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta hampir 1,000 penjawat awam.

Shamsul Azri menegaskan keperluan menyesuaikan kaedah komunikasi agar semua lapisan masyarakat faham penjelasan kerajaan.

“Dalam mesyuarat, saya selalu pesan, gunalah bahasa yang senang difahami dan jangan terlalu guna ‘bahasa Putrajaya’,“ ujarnya.

Jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat sering berpunca daripada gaya bahasa yang tidak menepati kumpulan sasar.

“Kita perlu sesuaikan cara komunikasi agar semua generasi, muda atau tua, faham dengan jelas,“ jelasnya.

Pada majlis itu, Shamsul Azri turut melancarkan empat Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam baharu.

Antaranya Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam Bilangan 1 Tahun 2025 mengenai pengurusan portal dan laman web agensi sektor awam.

Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam Bilangan 2 Tahun 2025 pula berkaitan pengurusan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi bersepadu kerajaan (MyGovNet).

Turut dilancar Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam Bilangan 3 Tahun 2025 mengenai tadbir urus perkhidmatan komunikasi dan kolaboratif bersepadu kerajaan (MyGovUC).

Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam Bilangan 4 Tahun 2025 pula melibatkan dasar perkhidmatan prasarana kunci awam kerajaan (MyGPKI).

Pengenalan pekeliling ini mencerminkan komitmen Jabatan Digital Negara (JDN) untuk menyelaraskan dasar digital kerajaan.

Langkah ini bertujuan memperkukuh tadbir urus digital dan memastikan perkhidmatan kerajaan lebih pantas, selamat, dan responsif.

Ia selaras dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), Iltizam, dan visi Negara Digital. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *