Peningkatan 26% kes NTL di KLIA1 antara Mei-Julai 2025

PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) melaporkan peningkatan 26 peratus kes Notis Penolakan Masuk (NTL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dari Mei hingga Julai 2025.

Jumlah kes NTL meningkat daripada 900 pada Mei kepada 987 pada Jun, sebelum mencecah 1,134 kes pada Julai.

AKPS dalam kenyataan hari ini menyatakan pemantauan di pintu masuk negara akan diperketat, terutamanya pada waktu awal pagi.

Tindakan ini bertujuan mengekang cubaan masuk daripada sektor penerbangan berisiko tinggi.

Seramai 40 warga Bangladesh diberi NTL di KLIA1 berdasarkan maklumat awal dan trend kemasukan dalam operasi pemantauan hari ini.

Mereka merupakan sebahagian daripada 134 warganegara asing yang diperiksa selepas mendarat menerusi dua penerbangan dari Dhaka antara 1 pagi hingga 6 pagi.

Penolakan kemasukan dibuat selepas semakan dokumen perjalanan, tujuan kemasukan, dan tiket pulang menunjukkan niat mencurigakan.

Kesemua individu terlibat akan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh 24 jam.

Dalam perkembangan lain, tiga warga asing ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan dengan mengemis di Balai Perlepasan KLIA1.

Dua daripada mereka merupakan warga Algeria, manakala seorang lagi warga Iraq.

Penahanan dilakukan dalam operasi pemantauan “Ulat KLIA” bersama Pasukan Keselamatan KLIA (AVSEC) antara 8.30 pagi hingga 10.30 pagi.

Aktiviti mereka melanggar syarat kemasukan dan menjejaskan imej negara serta keselesaan penumpang.

Ketiga-tiga individu diserahkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *