Malaysia dan Bangladesh meterai 8 MoU perkukuh hubungan dua hala

PUTRAJAYA: Malaysia dan Bangladesh hari ini memeterai lapan memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian bagi memperkukuh hubungan dua hala.

Perjanjian ini merangkumi pelbagai sektor termasuk pertahanan, tenaga, pendidikan tinggi, diplomasi, pembangunan halal, dan kerjasama sektor swasta.

Majlis menandatangani dokumen itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penasihat Bangladesh Prof Dr Muhammad Yunus.

Lawatan rasmi beliau ke Malaysia menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama dua hala.

MoU mengenai kerjasama pertahanan ditandatangani Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh Md Touhid Hossain.

Kerjasama dalam pembekalan dan infrastruktur gas asli cecair (LNG) turut dimeterai.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menandatangani MoU dengan Penasihat Bangladesh untuk Pengangkutan Jalan Raya dan Jambatan, Tenaga, Sumber Mineral dan Perkhidmatan Kereta Api M Fouzul Kabir Khan.

Pertukaran Nota mengenai Kerjasama Pendidikan Tinggi serta Latihan untuk Pegawai Diplomatik turut dilaksanakan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menandatangani dokumen dengan Dr Asif Nazrul dan Md Touhid Hossain dari Bangladesh.

Kerjasama dalam ekosistem halal dimeterai melalui Pertukaran Nota antara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan dengan Pengerusi Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Bangladesh Chowdhury Ashik Mahmud Harun.

Dalam bidang penyelidikan strategik, satu MoU ditandatangani antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dengan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Bangladesh.

Bagi sektor perniagaan, MoU dimeterai antara MIMOS Services Sdn Bhd dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Bangladesh-Malaysia (BMCCI).

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) turut menandatangani MoU dengan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bangladesh (FBCCI).

Lawatan Muhammad Yunus menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan Malaysia-Bangladesh.

Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk memajukan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan, dan pertukaran budaya.

Penerima Hadiah Nobel Keamanan itu diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra semasa lawatan tiga hari ke Malaysia.

Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (USD2.92 bilion).

Angka ini meningkat sebanyak 5.1 peratus berbanding 2023.

Bangladesh merupakan rakan dagang kedua terbesar dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan.

Eksport utama Malaysia ke Bangladesh termasuk produk petroleum, minyak sawit, dan bahan kimia.

Import dari Bangladesh terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum, dan barangan keluaran kilang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *