MELAKA: Seorang lelaki maut manakala adiknya cedera parah dalam kemalangan motosikal di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) di Kandang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit mengesahkan kejadian itu dilaporkan pada 1.04 pagi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Fauzy Borhan, 32, manakala adiknya Muhammad Naim, 29, mengalami kecederaan parah di kepala.
“Siasatan mendapati Muhammad Fauzy menunggang Yamaha NVX dan adiknya menunggang Yamaha Y15 dalam perjalanan dari Tampin ke Muar,“ katanya.
Mereka dipercayai terlanggar pokok tumbang sebelum tercampak akibat hentakan kuat.
Muhammad Fauzy disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.
Mayat mangsa telah dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis sedang mengesan saksi untuk membantu siasatan lanjut. – Bernama